Murid murid Harapan Cikgu




Cikgu Azizah Abdul Mutallib memang meletakkan harapan yang tinggi pada murid murid kelas 6 Jaya untuk cemerlang dalam peperiksaan UPSR tahun 1993 itu.  Mana tidaknya, berbagai kaedah pengajaran yang dicuba disertakan juga kelas tambahan setiap petang secara percuma.  Semuanya nampak membuahkan hasil bila ujian ujian cubaan pra UPSR dijalankan.

. . . . . . . . . . . . . . . .

Pagi itu semua orang sudah bersiap sedia.  Kelengkapan perang sudah tersedia di dalam laci meja.  Semua berasa teruja dan berdebar debar.  Waktu rehat ditunggu tak sabar.  Subjek yang di ajar Cikgu Azizah Abdul Mutallib berlalu bagaikan angin sepoi sepoi bahasa.  Kadang kadang sahaja menyapa ke cuping telinga.  Hanya ketika Teacher Mindy mengajar Bahasa Inggeris barulah para murid menumpukan lebih perhatian.  Takut takut kena soal tak dapat jawab kena bulu ayam, pasti birat seluruh badan.

Krrringgggg!!!!!!!!!

Loceng berbunyi menandakan waktu rehat.  Ianya juga seperti bunyi gendang perang yang berbunyi.  Ketika murid murid perempuan kelas 6 Jaya sibuk berlari lari anak ke padang membawa getah zero point, murid murid lelaki mengeluarkan perkakas perang mereka.  Setiap murid membawa straw minuman masing masing.  Ada yang kaler biru, ada yang berbelang belang dan ada juga yang kosong sahaja. 




Sebungkus kacang hijau di dalam plastik kaler merah diletakkan betul betul atas meja di tengah kelas.  Kami terpaksa menipu Pak Cik kedai runcit cakap Emak nak buat bubur kacang ketika membelinya.  Dua kumpulan dibahagikan sama rata walaupun kadang kadang tak adil dari nisbah ke’terrer’an-nya.    Aku masuk geng Khairul Hasani, budak paling taiko dalam kelas 6 Jaya, walaupun bapak dia orang kuat masjid.  Begitu juga dengan Razlie Rosman anak kepada pegawai bank, Muhammad Izzuan yang bapaknya baru pencen polis, Hairi Adnan yang suka lukis kartun fido dido dan Chee Cheng Kang sorang budak Cina tersesat dalam Sekolah Kebangsaan Kuang.  Semuanya nak geng Khairul Hasani. 

Zamhuri yang bapaknya kerap menghantarnya ke sekolah menaiki vespa di tolak masuk ke kumpulan lagi satu.  Ketuanya tak lain ialah Roy Azman, seorang lagi pailang kelas 6 Jaya.  Dengan badan yang besar, Roy Azman memang musuh tradisi kepada Khairul Hasani.  Entah berpa kali mereka berdua ni bergaduh.  Turut mengikuti langkah Zamhuri ialah Chandran a/l Mohar budak India yang nampak tough tapi hati sensitif, Ismael Bin Asli yang bapanya mempunyai kad pengenalan merah, Umar Abdul Aziz yang suka pakai kopiah kaler biru yang ada sulaman nama ‘Umar Abdul Aziz’ supaya semua orang tahu namanya Umar Abdul Aziz dan Mohd Herman yang kadang kala kami terkeliru dengan Herman Tino.

Kedua dua kumpulan ini memang mantap, enam sebelah.  Kacang hijau di bahagi agak agak sama rata.  Dan perang pun bermula.  Kacang hijau disumbat satu persatu di dalam straw dan disumpit keluar sebagai peluru.  Kalau kuat hembusannya boleh sakit juga kalau kena.  Kalau kena anak mata memang pedih, boleh merah satu hari.  Habis tonggang langgang kerusi kelas 6 Jaya dijadikan kubu.  Tidak ketinggalan beg sekolah murid perempuan dijadikan perisai.   Ada yang bergolek ke kiri, ada yang melompat ke kanan mencari perlindungan.  Kotor di baju sekolah belakang cerita.  Perang ini penting, lebih penting dari peperiksaan akhir tahun.

Lambat laun bekalan simpanan peluru kacang hijau menuju ke penghujung.  Tiba tiba entah dari mana terdengar satu suara dari kalangan ahli perang tersebut menjerit.

“Kutip peluru peluru atas lantai woi!!!” 

Maka berlumba ahli ahli kedua kumpulan mengutip kacang kacang hijau yang telah disumpit di atas lantai untuk diguna semula.  Semuanya berlaku dengan pantas.

“Kalau nak senang sumbat semua peluru dalam mulut, senang nak tembak macam mesingan!”  Satu lagi arahan dikeluarkan, entah dari siapa tidak diketahui kerana gawatnya keadaan.

Maka semua ahli perang mengikut cadangan tersebut tanpa membantah.  Maka penuhlah mulut mulut ahli perang disumbat dengan kacang hijau berlumuran pasir pasir halus dan debu debu dek kerana hendak menghasilkan sumpit mesingan.


Dari tepi pintu di satu sudut sedikit terlindung, hati suci murni Cikgu Azizah Abdul Mutallib luluh apabila melihat telatah anak anak muridnya yang merupakan calon calon harapan untuk mencapai 4A dalam UPSR tahun itu memasukkan kacang kacang hijau yang dikutip dari lantai ke dalam mulut.  Siap ada yang menitis nitis air liur lagi. . .

. . . . . . . . . . . . . . . .

Selamat Hari Guru (walaupun dah sedikit terlambat).  Cikgu Azizah Abdul Mutallib, walaupun ada yang mendapat 4A, 3A, 2A, 1A malahan tiada A pun dalam UPSR tahun itu, namun kami masih berjaya untuk hidup dek kerana jasa Cikgu.  Terima Kasih Cikgu.

5 ulasan:

  1. roy azman tu sekarang jadik pelakon ke? huhuhu~

    BalasPadam
  2. yang calon 4A gitu? hahahaha. ni memang nak kena gantung kat dinding tak turun-turun ni..

    BalasPadam
  3. hihihi... baru singgah pertama kali, hati terpaut dengan kisah dulu-dulu..

    teringat dulu saya sek rendah di kampung, kami menyumpit guna kulit buah duku jadi peluru, batang sumpitnya (betul ke panggilan tu?)silinder pen.. hehe

    BalasPadam
  4. BEB.

    lamanya tak update blog.

    update laaaa...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tengah tulis thesis laaa...
      Kepala tengah berserabut hahahah....


      Insya'Allah bila senang nanti akan di update.

      Thanks.

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...