Kisah televisyen lama a.k.a Bohong sunat (18 SX)

Bergambar di depan televisyen di Kampung Melayu Seri Ampang...


Dulu dulu, jarang rumah yang ada televisyen atau tv lebih dari satu macam sekarang. Kalau dalam rumah tu ada satu pun dah kira cukup baik. Aku agak beruntung sebab masa aku kecik, Abah dah belikan tv untuk kami sekeluarga. Walaupun kecil sahaja, tapi bagi aku sudah cukup puas hati. Saiznya aku tak berapa pasti, tapi kalau tengokkan pada gambar, mungkin tak sampai 20 inci pun. Zaman dulu ada jugak keluarga yang memiliki besar. Siap boleh ada tingkap yang boleh ditarik untuk tutup dan cover screen tv tersebut. Biasanya tv macam ni bila dah lama lama orang buat akuarium tempat letak ikan hiasan sahaja.

Ok, berbalik pada tv di rumah aku. Kalernya berwarna merah (hebat!). Zaman ni mana ada lagi alat yang boleh tekan tekan dari jauh bernama remote control. Semuanya manual sahaja. Kena pergi dekat depan tv untuk tekan ‘on’ tv dan tekan untuk tukar channel. Zaman ni jugak belum wujud istilah tv berbayar, yang hanya ada tv1, tv2 dan tv3. Kalau kena bayarpun hanyalah cukai televisyen. Itupun dah dimansuhkan kalau tak silap aku masa kempen pilihanraya satu masa dahulu.

Bagi aku tv ni cukup klasik. Ianya sangat setia bersama kami sekeluarga dari kami duduk di Kampung Melayu Seri Ampang hinggalah kami berpindah ke flat Taman Dato’ Ahmad Razali. Kami tetap gunakan perkhidmatan tv ini. Hinggalah di akhir usia tv ini, bila sudah nazak, kami masih setia. Kalau gambarnya tak keluar atau bergoyang goyang maka berdentang dentunglah tv ini diketuk di sebelah atas, kiri dan kanan untuk mengeluarkan gambar yang elok. Sepak terajang je yang tak buat sebab kaki aku tak sampai lagi masa tu. Entah kenapa, selalunya lepas di ketuk dengan kuat, gambar yang bergoyang akan elok kembali.

Suatu hari entah kenapa aku boleh tertengok berita kat tv bersama keluarga pada satu malam di rumah kami, flat Taman Dato' Ahmad Razali, Ampang. Tiba tiba ada satu laporan berita mengenai serbuan di satu tempat kejadian.

“Malam tadi serbuan telah dilakukan oleh pihak polis di kawasan yang disyaki dan berjaya menangkap sekumpulan gadis yang disyaki bekerja sebagai pelacur.” Terang si penyampai berita yang bergincu merah pekat, pipinya warna merah merah jambu penuh bak opera cina, rambutnya di set tinggi dan anggun berbaju kurung beropol ropol yang ada span kat bahu, fesyen terkenal ketika itu.

“Mak, PELACUR tu apa? Tanya ku sangsi. Waktu itu daya ingin tahu aku sangat tinggi. Semua benda nak tanya.

“PELACUR tu orang yang jual almari.” Tenang jawapan Emak.
.
.
.
.
.
Umur dah besar panjang baru aku tahu aku kena bohong, bohong sunat orang kata.

Bergambar dengan adik di depan televisyen di flat Taman Dato' Ahmad Razali.


Hayat tv merah itu aku tak pasti berapa lama. Dan aku juga dah lupa bila khidmatnya di tamatkan. Yang pasti "terima kasih televisyen lama".

3 ulasan:

  1. untung tu ada tv3, sblm 1986 ke camtu, ada rtm1 dgn rtm2 je... tu pun start petang/tgh hari, pagi² tv pendidikan je

    BalasPadam
  2. amir tnye emak...dia pon dah x ingat pasal ni hehe

    BalasPadam
  3. KOG, tv pendidikan pun syok jugak.

    Amir, mak dah lupa lah tu, cerita lama...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...